Jumat, 20 Januari 2012

AL-HIKAM IMAM IBNU ‘ATA’ILLAH AL- SAKANDARI : PENGARUHNYA TERHADAP AMALAN TASAWUF DAN TARIQAT DI MALAYSIA.

Abstrak

Kegemilangan sesebuah tamadun adalah disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya keupayaan memaksimumkan pembangunan insan. Pembangunan intelek adalah sebahagian daripadanya. Dengan keupayaan intelek yang tinggi di kalangan masyarakat sudah tentu ia akan menyumbang kepada pembangunan ketamadunan yang tinggi kepada masyarakat tersebut khasnya dan kepada dunia amnya. Oleh yang demikian tujuan kertas kerja ini ditulis adalah untuk mengimbas kecemerlangan Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari dalam dunia intelektual, kebudayaan dan kesusasteraan. Kecemerlangan beliau tidak mengenal batas sempadan geografi dan tidak dibatasi oleh lingkungan masa yang tertentu. Dalam kertas kerja ini juga akan melihat pengaruh intelektual Ibn ’Ata’illah khasnya dalam ilmu dan amalan tasawuf yang menghubungkan budaya keilmuan antara Malaysia dengan Mesir. Pengaruh penulisan dan pemikiran beliau juga jelas diamalkan dalam konteks budaya ilmu Masyarakat Malaysia.

PENDAHULUAN

Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari yang hidup pada zaman Dinasti Mameluk itu dapat merasai keadaan dan suasana kesetabilan politik pada ketika itu. Oleh yang demikian tidak hairan jika beliau dapat memanfaatkan peluang tersebut dengan sebaik-baiknya untuk mencapai cita-cita beliau dalam bidang ilmu pengetahuan, khasnya ilmu pengetahuan agama seperti yang wujud pada zaman tersebut. Lebih-lebih lagi hidupnya adalah antara pertengahan abad ketujuh hijrah hingga awal abad kelapan hijrah, yang bermakna umat Islam dan tamadunnya telah selanjut itu usianya.

Kebudayaan dan tamadun Islam yang telah dibina pada zaman Rasulullah s.a.w. berkembang dengan pesatnya pada zaman Kerajaan Bani Umayyah dan Kerajaan Bani ‘Abasiyyah itu bukan sekadar mempengaruhi kehidupan umat Islam seluruh pelusuk dunia malahan orang Kristian di Benua Eropah juga telah bangun kerana kejutan kebudayaan dan tamadun Islam tersebut. Situasi ini disebabkan pada abad ketujuh Hijrah atau ketiga belas Masehi bangsa Eropah telah terlibat secara khusus dengan peperangan Salib. Hubungan mereka dengan tentera-tentera Islam dalam peperangan tersebut telah meninggalkan impak yang besar terhadap ketamadunan bangsa Eropah.

Di Mesir sendiri pada akhir abad ketujuh Hijrah, tidak dapat dinafikan ia telah menjadi sebuah pusat kebudayaan dan tamadun Islam yang standing pada ketika itu dengan kota Kota Baghdad dan beberapa kota yang lain di Sepanyol. Beberapa kota besar di Mesir seperti Kaherah, Iskandariyyah dan lain-lainya telah menjadi pusat perkembangan kebudayaan dan tamadun Islam pada masa itu. Lebih-lebih lagi apabila kita menyemak fakta sejarah bahawa banyak warisan kebudayaan dan tamadun Islam yang telah ditinggalkan oleh Kerajaan Fatimiyyah (297H-566H/909M-1171M begitu juga dengan peninggalan Kerajaan al-Ayubiyyah.

PENDIDIKAN IBN ’ATA’ILLAH

Walaupun para sarjana yang pernah membuat kajian tentang biografinya menegaskan bahawa maklumat perkembangan awal hidupnya terlalu sedikit yang diperolehi, namun secara logiknya dapat kita mengandaikan bahawa beliau pada peringkat awalnya adalah mendapat didikan dan asuhan agama seperti juga kanak-kanak lain pada masa itu. Berdasarkan kepada satu petunjuk bahawa kelurga beliau adalah ahli agama yang bijak dan terkenal pada masa itu. Sebagai seorang kanak-kanak yang terdedah dengan pengajian tradisional Islam, tentulah beliau mempelajari ilmu yang berkait dengan fardu ’ain, membaca, menulis, menghafaz al-Quran dan sebagainya lagi. Apabila umurnya meningkat remaja, beliau telah mempelajari berbagai cabang ilmu Islam yang pada lazimnya dipelajari oleh para pemuda pada masa itu. Sesuai dengan zaman tersebut Kota Iskandariyyah merupakan salah sebuah pusat kegiatan ilmu pengetahuan yang penting di Mesir sehingga menjadi tumpuan para ilmuan pada ketika itu. Antara bidang ilmu yang berkembang pesat di Kota Iskandariyyah pada ketika itu ialah ilmu fiqh, ilmu hadis, ilmu usuluddin dan tidak ketinggalan juga dengan ilmu tasawuf . Ibn ’Ata’illah mepelajari ilmu-ilmu zahir seperti feqah, tafsir, hadis, falsafah dan lainnya dari sebuah madrasah fiqh mazhab Maliki yang terkenal di Iskandariyyah pada masa itu. Madrasah ini di asaskan oleh oleh seorang ulama yang terkenal dalam Mazhab Maliki Syeikh Abu Hassan al-Ibyari. Beliau wafat pada pada tahun 618 H. Ibn ’Ata’illah sangat bertuah kerana dapat berguru dengan para ulama yang berbagai. Dalam ilmu fiqh, beliau berguru dengan seorang ahli fiqh terkenal bernama Syeikh Nasir al-Din Ibn Munir. Manakala dalam bidang ilmu hadis pula beliau berguru dengan Syeikh Shihab al-Din Abu Ma’ali yang terkenal dengan gelaran Syeikh al-Abraquhi. Dalam bidang nahu dan tata bahasa Arab beliau berguru dengan Syeikh al-Muhyi al-Mazuni seorang ulama yang setaraf dengan Syeikh Ibn al-Nuhas terkenal di Mesir pada ketika itu yang wafat pada698 H. Ibn ’Ata’illah al-Sakandari juga pernah berguru dengan al-Syeikh al-Imam al-Syaraf al-Din al-Dimyati yang hidup antara tahun 613-705 H. Manakala dalam bidang usul fiqh, tauhid, falsafah, dan mantiq pula pernah berguru dengan Syeikh Muhammad Ibn Mahmud yang terkenal dengan gelaran Shamsuddin al-Isbahaniy.

ULAMA FIQH MAZHAB MALIKIY


Berdasarkan kepada beberapa fakta yang berkaitan dengan kegiatan beliau seperti yang telah dihuraikan di atas, maka tidak menghairankan kita bahawa Ibn ’Ata’illah al-Sakandari semasa mudanya sudah menjadi seorang ahli feqah yang terkenal dalam mazhab Maliki. Sebelum menceburkan diri alam ilmu dan amalan tasawuf. Semasa bergiat aktif dalam bidang fiqh, beliau banyak memberikan fatwa tentang hukum hakam kepada orang ramai. Seperti ulama-ulama lain dalam bidang fiqh, Ibn ’Ata’illah al-Sakandari sering meragui kebenaran ilmu dan amalan tasawuf. Tidak ketinggalan beliau sering mempertikaikan kedudukan ulama tasawuf dan para pengamalnya. Tidak salah jika dikatakan Ibn ’Ata’illah al-Sakandari adalah salah seorang yang lantang menentang ilmu tasawuf, khasnya ilmu tasawuf yang dipelopori oleh Tariqah al-Syadhiliyyah.

MENJADI ULAMA TASAWUF

Allah S.W.T. telah menentukan bahawa Ibn ’Ata’illah al-Sakandari menjadi seorang tokoh ilmu tasawuf yang tersohor. Keraguannya terhadap kebenaran ilmu tasawuf amnya dan terhadap Syeikh Abu al-’Abbas al-Mursi khasnya telah bertukar menjadi keyakinan yang teguh dan kental. Perubahan tersebut adalah disebabkan oleh desakan batinnya yang sentiasa ingin mengetahui kemungkinan perkara yang ditentang selama ini dan dianggap sebagai salah itu adalah benar.

Sejak pertemuan pertama tersebut, beliau terus mendapat didikan serta asuhan dari gurunya al-Syeikh Abu al-’Abbas al-Mursi dalam ilmu dan amalan tasawuf khasnya Tariqat al-Syadhiliyyah. Beliau adalah murid kesayangan Syeikh Abu al-’Abbas al-Mursi. Hubungan mereka berdua sentiasa rapat sesuai dengan syarat dan prinsip-prinsip tariqah. Beliau mendapat didikan serta asuhan dari Syeikhnya selama kira-kira 12 tahun. Dalam masa yang singkat Ibn ’Ata’illah telah berupaya mengarang kitabnya yang tersohor dalam ilmu tasawuf iaitu al-Hikam semasa gurunya al-Syeikh Abu al-’Abbas masih hidup dan al-Hikam mendapat pengesahan dari Syeikhnya.

Satu babak baru dan mencabar dalam sejarah kehidupan Ibn ’Ata’illah al-Sakandari bermula apabila beliau berpindah ke Kaherah. Di sini beliau menyebarkan ilmu pengetahuanya, baik yang zahir mahu pun ilmu batin iaitu ilmu tasawuf. Tentunya beliau menjadi orang penting (mursyid) dalam Tariqat Syadhiliyyah, terutamanya setelah kewafatan gurunya Syeikh Abu al-’Abbas al-Mursi.Beliau bukan sahaja menyibarkan ilmu tersebut kepada orang ramai di tempat-tempat awam tetapi berkesempatan menjadi pensyarah di Universiti al-Azhar dan di Madrasah al-Mansuriyyah.

PENGAJARAN DAN ASUHAN


Pengajaran dan asuhanya mendapat sambutan yang baik dari semua lapisan masyarakat Mesir, khasnya di Kota Kaherah. Beberapa tokoh terkenal merekodkan bagaimana keadaan dan suasana sambutan orang ramai terhadap pengajaran dan asuhan beliau itu. Antaranya ialah Ibn Hajar al-’Asqalaniy menyebutkan:
”Ibn ’Ata’illah al-Sakandari itu bersyarah dengan kata-kata yang melunakkan hati, di atas sebuah kerusi, di Universiti al-Azhar. Beliau menyulamkan ajaran ahli tasawuf dengan ajaran angkatan salaf dan kehalusan ilmu Islam, maka ramailah para pengikutnya”

Ibn ’Ata’illah al-Sakandari berperanan penting meneruskan kesinambungan pengajaran dan penyebaran, asuhan dan didikan Islam khasnya dalam ilmu dan amalan tasawuf Tariqah al-Syadhiliyyah. Malahan menurut cacatan Dr al-Taftazaniy beliau sebenarnya berperanan penting mempopularkan gerakan tariqah-tariqah pada zamannya. Berperanan mengajak orang ramai mengikuti Tariqah al-Syadhiliyyah selepas ketiadaan syeikhnya. . Malahan lebih jauh dari itu Dr. Al-Taftazaniy berpendapat bahawa Ibn ’Ata’illah al-Sakandari adalah sebagai contoh yang ulung dalam bidang tasawuf di Negara Mesir di akhir kurun ketujuh Hijrah dan pemimpin yang penting dalam pembentukan tariqat dan tasawuf aliran Syadhiliyyah.Dengan ketokohan tersebut beliau dapat mempertahankan dan menangkis tohmahan yang ditujukan oleh golongan yang mempertikaikan ajaran tasawuf ke atas pengamal tariqat tasawuf khasnya Tariqat al-Syadhiliyyah.

Hasil kesungguhan dan penat lelah Ibn ’Ata’illah al-Sakandari, dalam usaha mendidik dan mengasuh murid-muridnya selama kira-kira 23 atau 24 tahun di Kota Kaherah, maka lahirlah beberapa orang muridnya yang terkenal dalam usaha menyambung dan menyebar, mendidik dan mengasuh orang ramai dalam ilmu dan amalan Tariqah al-Syadhiliyyah. Antara murid-muridnya yang terkenal ialah Syeikh Taqiy al-Din al-Subkiy (w.756H), ayah kepada Taj al-Din al-Subkiy, pengarang kitab Tabaqat al-Shafi’iyyah al-Kubra (w.771H), Syeikh Daud Ibn ’Umar Ibn Ibrahim al-Syadhiliy terkenal dengan gelaran Ibn Bakhula, pengarang kitab al-Lata’if al-Mardiyyah dan al Syeikh Abu al-Abbas Ahmad Ibn Milaq al-Iskandari al-Usuliy (w.749 H).

HASIL KARYA


Pengajaran dan asuhan yang dilakuan oleh Ibn ’Ata’illahal-Sakandari bukan sekadar lisan dan hal semata-mata, tetapi usaha tersebut meliputi juga dalam bidang penulisan. Selain dari murid-murid yang ramai, beliau juga meniggalkan kepada genarasi kemudian di Mesir khasnya dan bagi rakyat Malaysia amnya karya-karya berharga dalam bidang ilmu pengetahuan khasnya dalam ilmu dan amalan tasawuf. Antara hasil karya Ibn ’Ata’illah al-Sakandari yang berupa kitab dan risalah adalah seperti berikut:

1- al-Hikam. Kitab yang mengandungi adab-adab dalam ilmu tariqah dan tasawuf, ibadah, tawhid, zikrullah, maqamat, dan ahwal dan sebagainya.
2- Al-Munajat. Sebuah risalah kecil yang mengandugi doa-doa. Risalah ini menurut Dr. al-Taftazaniy disusun oleh Ibn ’Ata’illah al-Sakandari ketika beliau mengarang dan menyusun kitabnya al-Hikam.
3- Al-Wasiyyah. Sebuah risalah kecil mengandungi nasihat-nasihat yang ditujukan kepada para sahabat dan anak muridnya di Iskandariyyah. al-Wasiyyah boleh didapati pada akhir kitab Lata’if al-Minan.
4- Al-Tanwer fi Isqat al-Tadbir. Kitab ini mengandungi ajaran yang berkait dengan Tawhid Rububiyyah.
5- Lata’if al-Minan. Kitab ini mengandungi biografi atau manaqib gurunya, Syeikh Abu al-’Abbas al-Mursi.
6- Taj al-’Arus al-Hawi li Tahdhib al-Nufus. Kitab ini mengandungi nasihat dan panduan bagi ahli tasawuf, khasnya menganai cara-cara mendapatkan tazkiyyat al-nafs.
7- Al-Quds al-Mujarrad fi Ma’rifat al-Ism al-Mufarrad. Kitab ini mebicarakan tentang zat Allah S.W.T., sifat-sifat-Nya, nama-nama-Nya dan af’al-Nya dari sudut ilmu kalam dan pengalaman dhauqiyyah sufi.
8- Miftah al-Falah wa Misbah al-Arwah. Membicarakan cara-cara riyadat al-nafs, seperti zikir,’uzlah dan suluk.
9- ’Unwan al-Tawfiq fi Adab al-Tariq. Kitab yang menghurai dan mensyarahkan qasidah Syeikh Abu Madyan al-Tilmisaniy (w.594H) menyentuh adab bersahabat.
10- Sebuah Risalah kecil yang menghuraikan makna dan tafsiran ayat 54 surah al-An’am.
11- Qasa’id. Terdapat dua buah qasidah. Sebuah didapati pada akhir kitab Lata’if al-Minan yang berjumlah 62 bait. Sebuah lagi di dapati dalam kitabnya al-Tanwer berjumlah 22 bait. Keseluruhan qasidah ini menyentuh persoalan adab, hati, perasaan, kesedaran, muraqabah ahli tasawuf.
12- Al-Muraqqi ila al-Quds al-Abqa. Kitab ini tidak dapat dikesan sihingga ke hari ini. Tetapi ia disebut oleh Syeikh al-Suyutiy di dalam kitabnya Husn al-Muhadarah.
13- Mukhtasar Tahdhib al-Mudawwanah. Sebuah kitab fiqh yang diringkaskan dari sebuah kitab fiqh Mazhab Maliki berjudul Tahdhib Mudawwanah karangan Syeikh Ibn Habib al-Tanuhiy (w.169-204H)
14- Al-Qawa’id al-Diniyyah. Sebuah kitab kecil yang mengandungi ilmu tentang hati, nafsu syahwat, sifat-sifat tercela dan bagaiman hendak membuangnya.
15- Mawa’iz. Mengandungi nasihat dan panduan kepada ahli tasawuf.
16- Hizb al-Najah. Mengandungi doa-doa hizb.
17- Risalah al-Tasawwuf.
18- Tanbih fi Tariq al-Qawam.
19- Risalah fi al-Suluk.
20- Hizb al-Nur wa Tamam al-Surur.
21- Tuhfah al-Khulan fi Syarh Nasihah al-Akhwan.
22- Al-Du’a.

KESIMPULAN

Dari perbincangan yang telah dikemukakan di atas dapat dibuat kesimpulan bahawa Ibn ’Ata’illah al-Sakandari adalah seorang tokoh yang tersohor pada zamannya. Pengorbanan yang dilakukan dalam bidang pengajaran dan asuhan telah melahirkan ramai golongan ulama terkemuka yang meneruskan kesinambungan dudaya intelektual pada zaman berikutnya. Tidak ketinggalan juga dengan usaha-usaha yang telah dilakukan oleh beliau dalam berkarya khasnya dalam ilmu dan amalan tasawuf telah memberikan kesan yang sangat mendalam dalam hubungan dua hala dari sudut budaya dan keintelektualan di kalangan rakyat Malaysia sejak sekian lama. Kita berdoa agar segala usaha yang telah beliau lakukan akan tergolong ke dalam amal soleh di hari akhirat kelak. Amin.



Ibn `Ajibah, Ahmad bin Muhammad. t.t. Iqadh al-Himam fi Sharh al-Hikam. Beirut: Dar al-Fikr.
KERTAS KERJA INI DIBENTANGKAN DI SEMINAR ANTARABANGSA DI MESIR TAHUN 2006 OLEH:
Dr OTHMAN BIN NAPIAH
PUSAT PENGAJIAN ISLAM DAN SAINS SOSIAL
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA
SKUDAI,JOHOR.

0 komentar:

Poskan Komentar

copyrigt; Juned Topan.. Diberdayakan oleh Blogger.